Thursday, November 4, 2010
diGalas juga
masih ada gerhana
sinar rembulan
meniti di ufuk
malap pudar buram
tak terlawan
satu pedoman
membekas jejak
menyusun tapak
mengajar gerak
detik bertenggang
sebuah ruang
sejuta peluang
sampai waktu
terang benderang
tiba masa
kesiangan rembulan
akhirnya purnama
betul ke?
ya...
kerana
apa-apa pun jua
tetap diGalas juga
Monday, November 1, 2010
syukur
tunaikan ia dengah pasrah
kelak tidak resah
tanggungjawab
lakukan ia dengan sopan
agar tenang di hari kemudian
harta
gunakan ia sekadarnya sahaja
kerana takut diri derita
terlebih boleh jadi gila
terkurang boleh jadi sengsara
semoga kita bersyukur
dengan apa diberi
kerana itu yang kita minta
kerana itu kemampuan kita
tunaikanlah
lakukanlah
gunakanlah
pada cara dan jalannya sahaja
kerana itu syukur namanya
andai tidak perlu
pulangkanlah
andai tidak mahu
kembalikanlah
kepada yang empunya....
Sunday, June 6, 2010
camar yang terbang
seekor camar,
singgah di birai kaca
terbang sendiri
ke dahan mati
di pantai ini
terbang lagi dan terbang lagi
berpaut di ranting tua
tidak bisa jua
rebah, jatuh tersungkur
bangun, bangkit, tetap bertenaga
terbang lagi dan terbang lagi
sang camar ini
tidak pandai menyulap mata
kerana tiada daya upaya
bukan lemah segala anggota
tapi hati, kondisi diri tahu segalanya
jujur ikhlas itu lah senjata
tetap boleh terbang lagi
dan terbang lagi
sang camar ini
bukan merak di rimba
cantik dipuja, namun tidak mampu ke udara
bukan tiung di sangkar
asyik bertanya khabar, tapi tidak faham erti sebenar
bukan jemawa menongkat langit
kerana sinar sekadar lelatu di siang hari
perciknya tidak semersik
sang tiung, unggas berkicau riang
lenggoknya tidak seindah
sang merak, burung kayangan
namun bisa terbang lagi
dan terbang lagi
kerana
ia sang camar
yang mampu terbang lagi
dan terbang lagi
meski menopek hati sendiri
sungguh disergah limbubu senja
masih tahu daksina hidup ini
walau kelam kapangan dinihari
yakin mengerti paksina jiwa ini
dan tetap terbang
hmmm aku sendiri tak faham...
Sunday, May 30, 2010
petanda rindu
mataku bermanik
barangkali berkaca
tidak, bukan aku menangis
tapi ada air menitis
rasa rengsa, pedih
tidak, bukan kotor debu
kejap tadi aku lap, aku tapis
masih suci, kekal bersih
applelady...
toyogo...
dr. sukida...
ohhh
ada bulu mata tercabut...
engkau kah
yang merindui diriku
tika ini?
Excuse me boss. You have a text message - UJ pun tersenyum :-)
Tuesday, May 25, 2010
tatkala hujan
serabut kotor
jijik dan meloyakan
rupanya ada ruang
bintik-bintik jilah
putih suci bersih
pada rona kilasmu
setelah gerimis petang
pabila hujan mencurah-curah
baru ku terpandang
terima kasih, kerana pinjamkan aku payung
Wednesday, May 19, 2010
impian
hanya untuk suka-suka
bukan boleh bawa kemana-mana
itu sinis mereka
tapi aku,
lain di kepala, lain di minda, teringin juga
ini ruang, ini peluang, ini kesempatan
nukilan ilham, khayalan perasaan
apa dirasa, hati curiga
mata membaca, cerita lama
benar,
tidak silap,
betul,
sungguh teruja, semacam beriya
seusainya, ketara
bukan sia-sia
walaupun saja-saja
barangkali
langkah pertama, luar sedar
telah ku mula...
:-) sempena cerpoi duit tuh...ahakss
Friday, May 7, 2010
pagi-pagi di bandar penawar
ketika ini mungkin sudah kedengaran
suara-suara berang
terpekik terlolong mengerang
barangkali di pasar borong Selayang
6.35 pagi
waktu ini mereka sudah lama bangkit
jalanraya dah mula bingit
udara pun semakin hangit
hati pun dah mula sakit
di lebuhraya kenderaan dah mula speed
ahhh sudah tentu di KL yang macet
6.40 pagi
sedang aku masih bermalasan
nak mandi pun segan
dingin subuh belum hilang
kenapa ya...?
sebab aku bukan di Kuala Lumpur
jauh sekali di Selayang
kerana aku di Bandar Penawar
nun jauh di selatan...
salahkah kita yang bersalah?
berbaju melayu, berkopiah putih, bersongkok hitam
bersama rehal di tangan
berjalan ke pondok buruk, bangsal belum roboh
menyanyi lagu riang edisi tadika kemas
barangkali versi tabika perpaduan
anak kecil main api, mungkin juga warisan
kalau dulu, waktu menelaah muqaddam
guru mengaji selalu bercerita, mengaji quran sampai tamat
kelak di padang mahsyar, kitab itu adalah penyelamat
dari bahang mentari, hanya sejengkal di kepala
tapi kalau quran ada, kitab itulah hijab
dari panas yang membara
lewat malam, ibu bercerita, berkata nasihat, penuh hikmat
ayah juga selalu berpesan, basuh kaki baca basmallah sebelum tidur
hormat kakak, salam abang, jaga adik, jangan nakal-nakal
lihat kiri, lihat kanan, indah ciptaan, ingatlah tuhan
di sekolah, cikgu mengajar
hidup ini terlalu singkat
ambillah peluang pelihara naluri
dari tipu daya syaitan
di universiti juga, pensyarah berkuliah
jaga diri bersama rakan
setiap perkara ada batasan
meski dunia tiada sempadan
pesanan pimpinan sentiasa beriringan
tanah ini milik kita, genggam jangan sampai hilang
biar tergadai nyawa, milik kita tetap hak kita
adat dijunjung, negara berdaulat
amanat teguh sebagai panduan
takut kita hilang sayang
kerana kenegaraan satu kewajipan
tapi sekarang, barangkali jadi keliru
kenapa baik, jahat jadi balasan
bercampur gaul satu kemajuan
beruzlah, berkhalwat mencari ketenangan
dianggap kolot menongkah zaman
naluri songsang satu pembaharuan
sedangkan ibadat satu kesalahan
malah kita lagi bingung
dan mungkin kurang siuman
diajar bangkit dari kekalutan
tapi kolot di barat jadi ikutan
mencipta undang-undang untuk menjaga
tapi dipelihara naga dan raksasa
sedangkan kita sayangkan negara kerana
tidak mahu anak-anak bermain dengan api
risau terbakar diri sendiri
kerana kecil menjadi kawan
nanti besar menjadi lawan
sudah tentu itu bukan keindahan warisan
ibu sudah pun berpesan
ayah selalu juga menasihatkan
ustaz dan ustazah juga beramaran
salahkah juga kita yang bersalah
sedangkan kita lemah, selalu mengalah
kita tidak kuat, kita tidak akan kuat
selagi dogma hutan jadi pegangan
sedang al-quran
hanya perhiasan
hanya pertandingan
bukan perundangan
salahkah kita yang bersalah?
sedang kitakan lemah...
Tuesday, April 27, 2010
kalau itu dinamakan bahagia,
tak sangka UJ ni seorang penjiwa juga rupanya...
Fida juga pernah memberita
jiwangnya UJ, pengantin baru lagi UJ ni
sambung Fida lagi
sepatutnya yang berlitup sebeginilah yang patut dijadikan suri...
TanpaNama pun menasihati
solehkan dirimu nescaya akan datang solehah kepadamu
Badboy jugak tak mahu ketinggalan, ucapan
tahniah sebab dapat wanita yang didambakan
Sukiman pula yakin
wow ini sajak kahwin
Ucop pun pernah mencelah
semakin jiwa-jiwa pula uncle kita
sebelum ni tak pernah macam ni..
Tambah Am pula
bestnya Mr. Joe dapat baby, comel
suka, tahniah...
Dia juga menambah
tak sangka ko Joe, dah pun jadi ayah ...
dan
Ramai lagi bersuara
ada yang aku duga
ada yang aku terasa
ada juga tak ku sangka
Apa jua kata mereka
Apa jua kata kamu
Apa jua kata dia
Syukur Alhamdulillah
Terima Kasih seadanya
kerana aku suka
kalau itu dinamakan bahagia...
hehehe...:-)
beberapa komen pernah dititipkan yang sempat dikutip
Friday, April 9, 2010
MAC yang bahagia
sesekali tertanya di tangkai hati
kenapa agak lewat seusia ini
namun ditempis, sebab belum rezeki
al-maklum lah, dunia kini
merisik dia, mencermin diri
tidak mahu takut tidak jadi
tetapi hati sering mencari-cari
rupanya apa yang dicari,
bukan di sana tetapi di depan sini
lalu persiapan dibuat sejak Januari
akad dilafaz, janji dimaterai
ku turuti adat kerana agama
agar cintakan nusa tidak lebih daripadaNya
Dia yang memungkinkan segala-galanya
kami bertatih membina cinta
kerana tika ini baru bermula
melalui hidup suka dan duka
namun sudah ada, rasa bahagia
Mac 2010
mungkin cinta belum sempurna
kerana bahagia hanya berkongsi dua
rezeki dulu terus teruja
membina mahligai melayari bahtera
syukur jiwa tersenyum ceria
nikmat cinta laba dunia
bukan kerja yang sia-sia
kerana usaha tangga jaya
bukti cinta dulu di depan mata
sungguh bahagia tidak terkata
tidak lagi berdua, ada orang ketiga
Nur Maisarah Aqila empunya nama..
selepas baca balik puisi ni, UJ tergelak sendiri
Thursday, April 8, 2010
terima kasih isteriku
kerana cintakan aku
kerana sayangkan aku
kerana kasihkan aku
terima kasih isteriku
meninggalkan duniamu dulu
untuk hadir di daerah ini
yang dulu kosong dan sepi
namun berpenghuni kini
terima kasih isteriku
kerana kau belajar memahami
denai-denai gelap silam
bersama naluri dan hikmah
membawa nur dan harapan
yang kian terpancar indah
terima kasih isteriku
tulus suci di sanubari
mewarnai indah dada pelangi
melungsuri waktu-waktu sunyi
rindu dendam menggigit hati
terima kasih isteriku
tidak terucap lagi
hanya Dia yang tahu
yang kelu di lidah ini
yang bermain di benak ini
yang tersimpan di dada hati
terima kasih isteriku
kerana melahirkan zuriat abang,
zuriat kita
kerana meneruskan warisan abang,
warisan kita
moga puteri ku sayang
seindah az-zahra, di taman cinta kita
-ada manik2 jernih digenangi ketika dia membaca nukilan ini...dan aku pun tersenyum :-)
Wednesday, April 7, 2010
lupa
tidak seperti siang
tiada hujan
tiada bintang malam
hangat agak membahang
kipas tidak terpasang
peluh di dahi
menetes lalu hujung kaki
ooohhh rupanya
aku lupa 'on' kan suis
tidak..aku dah 'on'kan
ooohhh petang semalam
baru ku ingat
baru ku perasan
melewati 'pigeon hole'
ada warkah belum usang
warna berahi, merah berani
rupanya dari TNB
amaran kepada pelanggan
notis pemotongan...
garu kepala, malu sendiri
manusia memang alpa...
dan aku adalah insan...
hmmmmmm
Wednesday, March 17, 2010
nur maisarah aqila
terus menanti
sedikit kerisauan
penuh teruja
akhirnya kau datang
menerangi kasih dan sayang
semaian rindu mekar berbunga
di 'taman cinta' kita
Tuesday, February 23, 2010
Satu Malaysia, DIA yang satu
satu harapan
satu wawasan
satu impian
satu wajah
satu pasrah
satu usrah
satu nama
satu cinta
satu rasa
bergema di hujung benua
berusaha untuk berjaya
menggapai cita
mencipta bahagia
meski kita
beza nusa
beza cinta
beza rasa
banyak ragam
banyak resam
banyak asam
lain jalan
lain sampan
lain ingat
lain matlamat
lain semangat
mustahil
atau
barangkali
satu dalam beza
satu dalam banyak
satu dalam lain
kerana
tiada yang mustahil
tiada yang barangkali
kalau kita
mengenali Dia yang satu
di balkoni ini
di apartment ini
bersama wireless low signal
memetik jari
menghitung hari
cuba mencari
cuba menjadi
sambil menyaksi
menebus waktu
ketika dulu-dulu
sayu, hiba dan pilu
mungkinkah esok
terus larut
dalam takut
kota hiruk-pikuk
atau terang
disimbah cahaya bulan
dalam malam
masih temu jalan
menuju hari depan
Saturday, February 6, 2010
menanti dan menunggu
hati menjadi cemas
waktu bergerak malas
berjalan tidak pantas
kerana menunggu
hati menjadi biru
yang tiba bukan ditunggu
persis hanya pengganggu
di kafe itu
mereka bertandang
dinihari juga petang
singgah sebentar tika pulang
terus lepak kalau berteman
sesekali sampai larut malam
bercerita, berdiskusi, bercanda
tentang lewat semalam
yang tidak kehabisan
kadang-kadang, berulang-ulang
tentang kehidupan
dalang
dia bercerita
tentang mereka membela
malah
aku dipanggil
menjadi saksi
kepada yang dusta
agar
mereka percaya
tapi
sebenarnya aku sendiri keliru
kenapa aku dipanggil
kenapa tidak dia
pantas kah aku menjadi saksi
sedangkan mereka
selalu tertawa
kalau aku
adalah orangnya
aku jadi bingung
kerana yang mangajak
ku lihat
adalah mereka
yang keras kepala
angkuh dengan ceritanya
dan aku jadi gila
kerana
mereka yang mendengar
mencipta reka
cerita baru
lebih anjal
lebih jitu
supaya mereka berkelahi
aduhhh aku pening..
siapakah dalangnya...
